Friday, July 13, 2012

Previous sem's result and final semester

In the name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful


Alhamdulillah dah final semester rupanya. Kejap betul masa berlalu. Kalau boleh memang nak cepat habis pun. Hampir 2 minggu semester baru bermula dan seperti yang saya katakan sebelum ni kehadiran pada awal minggu telah pun lompong. Rasa macam hodoh pulak tapi nasib baik ada MC. Kalau dah awal awal tiga kali tak datang, nanti tak dapat la nak ponteng kelas untuk minggu yang seterusnya. Opps. Haha tak baik tak baik. Saje je.

Klik untuk tumbesaran yang lebih sihat

Saya suka schedule semester ni. Serius suka sangat sebab tiada gap. Lagipun kelas 1 jam walaupun setiap hari isnin, rabu dan jumaat. Selasa dan khamis goyang goyang kaki. Kelas pulak habis sebelum zohor so boleh solat zohor kat rumah je. Tapi depends la. Kalau time tu club ada buat program, ada group discussion, consultation dengan lecturer so kena stay back. 

Nak story sikit perihal subjek yang saya ambil. Statistics, mula mula okay. Bila dah masuk chapter two, rasa macam susah jugak ye. Sebenarnya english yang digunapakai dalam manual statistics tu power sangat kot. Dan tulisan lecturer kat papan putih, apa yang boleh saya katakan, tulisan doktor lagi kemas. Hehe. Subjek kedua, malaysian studies. Lecturer okay cuma rasa nak tidur kalau pena tak menari atas buku. Nasib baik kelas satu jam. 
Subjek ketiga, ethics in daily life. Lecturer best. Tapi ni lecturer laki. Sumpah tak mengantuk dalam kelas. Penerangannya sangat jelas. Tapi ramai betul manusia dalam kelas ni. Subjek malaysian studies dan ethics, penerangannya lebih kepada bahasa melayu mungkin kerana tiada foreigner dalam kelas tu. Tapi in the end, kena tulis omputih jugak masa buat assignment dan dalam paper masa final nanti. Dah masuk minggu kedua, saya masih taktahu apa nama lecturer dan hari ni baru tahu nama lecturer statistics. Tak pernah saya macam ni. Muahaha.


Result previous semester

Klik untuk tumbesaran yang lebih sihat


Sebenarnya semester lepas kali pertama dapat 4 rata. Konfem konfem lah meleleh air mata, air hidung semua. Haha. Terharu katakan. Ingat senang nak dapat 4 rata. Ingat petik jari je boleh dapat? Eh boleh je. Orang genius je kot macam tu. Semester lepas banyak masalah yang saya hadapi. Cewah macam masalah negara pulak. Contohnya subjek network security. Sir always on MC and there was no replacement class. Topik kadang kadang general and not based on the manual. Stress tahu? So bila keadaan macam ni, rasa macam tiada semangat kot nak belajar. Orang patutnya makin berusaha ye dok? Tapi kalau kita buat apa yang lecturer suruh buat, insyaAllah mesti boleh dapat yang terbaik. Lagi satu, saya dah print soalan past paper. Tapi hampeh tak buat pun. Belek belek je. Bila bukak soalan final, masyaAllah rasa nak maki hamun diri. Menyesal tak sudah. Rupanya sir banyak ambil soalan daripada past paper. Tapi sebelum melangkah ke hall, sempat berbincang sikit dengan Sofia, Fikri dan Alif iaitu President Club Dean List. Rasa tercabar sikit sebab tengok Alif macam rilek je. Haha. Tak nak jawab lama lama. Lepas siap tengok sikit sikit lepas tu terus keluar. Pasrah je lepas tu. Bukan tak dapat jawab. Cuma ada yang kurang yakin.


Nak cerita subjek business communication. Subjek ni best gila. Pada awalnya kami tak dibenarkan untuk memilih rakan rakan untuk dijadikan kumpulan sebaliknya lecturer yang akan pilih. So redha je masa tu. Bukan apa. Risau kalau kalau dapat group yang kebanyakannya sleeping partner dan tak buat kerja. Akhirnya saya ditempatkan bersama ahli kumpulan yang sangat 

superb. Alhamdulillah.
Klik untuk tumbesaran yang lebih sihat

(This was my group, SEEnterprise. SEEnterprise stands for Shining Eyes Enterprise and we're selling contact lense. Ada 3 foreigner. Chibbi maruko, tiga dari kiri kini telah menubuhkan syarikatnya sendiri dan telah berdaftar menggunakan nama Shining Style Enterprise. Hebat tu. Good luck kawan! )





***

Kita nak meminta pada Allah supaya mengurniakan kecemerlangan buat diri kita bukan sekadar sebelum dan ketika hendak jawab paper. Yang paling penting adalah selepas kita tamat final. Ada orang, "horeyyyyyy! kita merdeka lepas ni boleh rilek rilek ye dok?" Waktu selepas final la kita kena lebih merajinkan diri untuk berdoa. Minta pada Allah agar Allah lembutkan hati lecturer ketika menanda kertas kita. Mintalah setiap hari. Kalau kita boleh bermadah kata dengan manusia, kenapa tidak dengan Allah ye dok? Doa tu kalau boleh biar specific. Baru special. 

"Ya Allah, lembutkanlah hati Miss____ dan Sir____ ketika menanda kertas business communication dan network security. Berilah hamba kejayaan setimpal dengan usaha hamba sebelum ini. Ya Allah, izinkanlah hamba mendapat A dalam subjek yang hamba sebutkan tadi. Ya Allah, jika hamba dapat 4 flat, itulah hadiah buat abah dan ummi hamba."

Inilah doa saya setiap hari selepas habis exam. Allah mendengar doa saya. Alhamdulillah. Nak tahu tak? Masa accident hari tu, saya ditempatkan di wad nombor 4. Saya terasa hospital tu betul betul memerli saya. Cisss.

Total credit hour semester ni 11 je termasuk ibadah camp, insyaAllah bulan 11 nanti.



Wednesday, July 11, 2012

Pabila tulang bertemu tulang

In the name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful


Saya baru sahaja pulang daripada PPUM. Setibanya di bilik, telah masuk waktu azan zohor. Jadi seperti biasa saya akan ambilkan dia wuduk untuk menunaikan solat zohor. Kedudukan katil yang menghadap ke arah kiblat memudahkan dia untuk solat duduk di atas katil tetapi tiada penahan dibelakang untuk menahan badannya. Guess what? Saya lah yang menjadi penahan belakang badannya. Semasa dia tengah solat, saya menahan belakang badannya dengan belakang badan saya sambil makan karipap bapok besor (Chicken Curry Puff) berharga RM 8.50 seketul yang dibeli di Secret Recipe, PPUM tadi. Nyum nyum sedapnya.


Oh, lupa. Dia tu merujuk pada wafiy.

Sunday, July 8, 2012

Jam Loceng

In the name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful

Semua orang ada jam loceng ye dok? Tipulah kalau tiada. Handphone tu bukan jadi jam loceng korang ke?

Bila kat rumah kuantan atau PJ, saya tak pernah kunci jam. Sebab tahu, nanti akan ada orang orang yang mengejutkan saya untuk bangun subuh. Jadi saya tak perlu risau. Hihi.

Kalau kat Gombak, siap kunci kat dua dua handphone takut tak bangun. Kalau stay up lambat sangat, siap letak handphone kat sebelah telinga. Takut tak bangun. Tapi sebenarnya bahaya beb. Jangan amalkan ye. Dan saya lah yang jadi jam loceng untuk housemate saya. Mengejutkan mereka mereka untuk bangun subuh kecuali sharifah nur athirah kerana beliau antara yang terawal bangun.

Tapi yang peliknya....

Kat Gombak, mudah je mata ni celik. Kalau kat PJ dan Kuantan, terasa liat yang amat nak bangun. Rasa tak nak bangun. Bangun pun lambat lambat. Haha. Mungkinkah kerana tilam yang empuk?

Friday, July 6, 2012

Seksyen 16 berhantu

In the name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful

Hari ni hari pertama saya ke kelas setelah hampir seminggu semester bermula. Sebenarnya tiada semangat pun kerana pergerakan sangat terbatas dan kehadiran pada awal minggu sudah pun lompong dek kerana kemalangan tempoh hari. Walaupun sekadar minggu add and drop, tapi rasa tak best kalau hari pertama tak datang. 

Saya kalau boleh nak elak daripada bertemu atau terserempak dengan rakan rakan. Habislah kalau dorang baca ni, mesti kecik hati punya. Jangan salah faham. Sebab rasa tak ready lagi nak cerita tentang kejadian tu. Konfem konfem, jumpa sorang, sorang tanya. Jumpa kat area lain, orang ni tanya. InsyaAllah minggu hadapan nanti, saya okay dan sebenarnya tak sabar nak jumpa dengan kawan kawan rapat.

Buat masa ni, saya tak duduk rumah sewa berdekatan kolej. Saya berulang alik dari Petaling Jaya (PJ) ke Gombak. PJ tu rumah atok nenek belah ummi. Tulang bahagian pinggul saya patah dan masih dalam rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Eh PPUM tempat lahir saya dulu la. hehe.

Ketika dalam perjalanan pulang ke PJ dari Gombak, seperti biasa, maksu akan lalu DUKE highway dan melalui seksyen 16 yang berdekatan dengan Damansara, Pusat Asasi UIA PJ dan PPUM. Semakin saya menghampiri seksyen 16, tangan saya makin sejuk dan menggeletar. Straw dalam bungkusan teh tarik itu saya gigit gigit. Ruang mata terasa makin hangat. Lalu saya menutup mata dan terasa ada air mata mengalir jatuh. Maksu menyuruh saya istighfar. Kenapa ye? Adakah saya masih trauma?

Notakaki : 11 July ada derma darah kat kolej. Nasib tak menyebelahi. Saya tiada di kolej pada tarikh tu kerana perlu berjumpa dengan doktor pakar tulang. Herm. Baru nak gemokkan badan. Kelas pun tak dapat datang.

Monday, May 28, 2012

Apa yang saya tahu...

In the name of Allah The Gracious and The Most Merciful


Semakin meningkat usia, semakin dekat kita dengan kematian. Kita tahu tarikh kelahiran kita, tapi kita tidak pernah tahu tarikh kematian kita. Semalam kita buat perkara lagha, sebelum tidur kita muhasabah diri dan kita pastikan hari esok lebih baik daripada hari sebelumnya. Kita bertekad, kita berazam, diri kita terasa lebih motivasi. Tapi keesokan harinya, apa yang kita tekad, apa yang kita azam semuanya jadi basi. Kita kecewa. Dan malamnya sebelum tidur, kita muhasabah semula diri dan begitulah untuk hari hari seterusnya. 

Itu normal. Kerana kita manusia biasa. Manusia yang punya nafsu. Iblis laknatullah itu licik dan akan terus menyesatkan cucu cicit adam hingga ke akhirnya seperti janjinya dalam Surah Al-'Aaraf ayat 17.


"Kerana Engkau telah menghukum aku tersesat, aku benar benar akan (menghalangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus, kemudian aku akan mendatangi mereka dari mula dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat)."


Rakan kita berselisih faham. Kedua duanya bercerita pada kita. Pilihan ditangan kita sama ada kita mahu memporak perandakan keadaan dengan talam dua muka atau hanya mempercayai cerita sebelah pihak sahaja atau kita mahu memulihkan keadaan, menjadi seorang yang matang dengan menjadi pendengar setia lalu memikirkan bagaimana cara dan langkah agar semuanya pulih seperti sediakala.

Kita mungkin memilih untuk jadi orang tengah kerana tidak mahu persahabatan yang makin berbuah ranum, jatuh dan gugur dengan keadaan yang busuk dan berulat. Kita menyatakan pada mereka bahawa kita bukanlah orang yang berhak mengatakan dia ini betul dia ini salah. Andai si kawan tidak mahu lagi berkawan dengan kita dek kerana kita tidak mahu mempercayai setiap isi dan cerita dia, jangan pernah berasa sedih kerana kita berada di pihak yang benar. Si dia menjauhkan diri mungkin terasa hati dengan perlakuan kita tapi hakikatnya kita tidak ingin berkelakuan begitu. Sedih? Ye sedih. Kita mungkin tertanya tanya. Kenapa dia bersikap kebudak budakan begitu? Tika itu, hati kita berbisik, liciknya engkau iblis laknatullah. Kau berjaya porak perandakan kami. 

Manusia itu sifatnya kadang kadang positif, kadang kadang negatif. Si positif dan si negatif saling memerlukan antara satu sama lain. Pendek cerita saling melengkapi. Ye, manusia sentiasa berdepan pergolakan dan pancaroba yang menguji keimanan, lalu tersungkur dan rebah akibat tergoda ajakan hawa nafsu.

Terkadang, saya seperti letih dengan kehidupan fatamorgana ini. Kerana kadang kadang kita juga terlibat sama dalam masalah yang bukan kita sendiri bangkitkan. Sepanjang 20 tahun saya hidup, saya tidak pernah rasa bahagia hidup di dunia ini. Saya hanya bahagia bila mengingati Dia dan membaca setiap firmanNya. Kerana setiap firmanNya itu pasti. Dia tidak pernah memungkiri hamba-hambaNya.


Apa yang saya tahu...

Setiap pagi sebelum ke kelas, saya akan menelefon ummi dan abah. Minta maaf dan mohon restu daripada mereka. Tak sayang kredit ke hari hari call? Tanya diri, kita tahu ke tarikh kematian mereka? Kalau boleh habiskan kredit menelefon buah hati yang belum tentu jadi pasangan hidup semati kita, takkan kita tak boleh habiskan untuk seorang ayah yang penat membanting tulang siang dan malam mencari rezeki untuk kita? Untuk ibu yang membawa kita selama 9 bulan dan bersusah payah melahirkan kita? Cecuba fikir. Advance sikit, bila kita punya anak nanti, kita nak anak kita bersikap seperti kita yang sekarang?


Apa yang saya tahu...

Belajar memaafkan orang walaupun kita berada di pihak yang benar. Perkara ini mematangkan kita. Saya tak tipu. Advance lagi, kita mesti mahu anak kita belajar memaafkan orang suatu ketika nanti. Bagaimana? Semuanya bermula dengan diri kita.


Apa yang saya tahu...

Baca al-mathurat selepas subuh dan asar/maghrib. Surah al-Mulk sebelum tidur untuk keamanan dan keselamatan, kerana ia menjadi penyelamat dan pendinding dari seksa kubur kepada pembacanya. Baca Surah al-Kahf setiap hari jumaat. Saya akui surah itu agak panjang. Kalau tidak mampu untuk baca sekaligus, bahagikan kepada beberapa muka surat dan baca ketika waktu subuh, zohor, asar, maghrib dan isyak. Menunaikan solat sunat Dhuha. 2 rakaat sahaja. Kelas saya untuk semester pendek ini bermula pukul 10 pagi jadi tiada alasan untuk meninggalkan melainkan ketika uzur syari'e. Buat tahajud disepertiga malam jika saya tidak stay up hingga ke pagi dek kerana tugasan yang bertimbun. Dan Alhamdulillah saya telah berjaya menghafal surah Luqman. Alhamdulilah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Saya berasa sangat gembira.


Apa yang saya tahu...

Saya malas untuk mengambil tahu hal rakan rakan. Ini menunjukkan saya memang tidak peduli akan hal ummat. Bukan begitu. Mana yang saya perlu bantu dan apabila mereka minta bantuan, saya pasti akan bantu. Malas disini bermaksud malas untuk terlalu memikirkan hal hal yang remeh temeh. Tapi hal remeh itulah yang perlu diambil tahu untuk mengelakkan ia daripada menjadi besar. Benar. Tapi jika saya sudah berusaha sehabis baik, masih tiada perubahan, maka cukuplah sampai disitu dan saya serahkan kepada Allah. Terlalu banyak perkara lain lagi yang harus saya fikir.


Apa yang saya tahu...

Selepas pulang dari kelas, saya akan tetap ke dapur untuk memasak. Saya anggap ia sebagai latihan buat diri sebelum melangkah ke alam rumahtangga. Bila dah kahwin, penat macam mana sekalipun, makanan harus disediakan buat si suami dan anak anak tercinta. Dan dalam seminggu, saya harus belajar satu resipi baru.



-Coretan kata penuh perasaan di meja makan B-5-11, Gombak.-






























Saturday, May 26, 2012

Saya tak tahu!

In the name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful


Seringkali kita lihat "mereka" bertelagah di luar sana mahupun dalam alam maya. Bertelagah tentang apa? Apa yang saya ingin sampaikan disini adalah bertelagah ketika membahaskan hukum Islam dan sebagainya. Contohnya kalau anda lihat di facebook, terlalu banyak perkara yang dibahaskan dan akhirnya membawa kepada kemudaratan iaitu pergaduhan kecil. 

Saya petik kata kata seorang kawan, "buat buat bodoh tu bagus sebenarnya, itu lagi susah kantoi dan kalau kantoi pun, takdelah malu sangat daripada kau buat buat pandai, nak kantoi senang, dah la pulak bila kantoi, malu badan sendiri lagi."

Pernah suatu ketika berlaku suatu pergaduhan kecil di status facebook saya antara si polan dan si munah. Membahaskan sesuatu berkaitan hukum Islam. Saya hanya diam dan memerhati, nak balas, tapi tak cukup ilmu. Jadi lebih baik diam lalu saya menutup facebook untuk meneruskan kerja dan beberapa jam kemudian saya membukanya semula. Dan apa jadi selepas itu? Saya lihat tiada satu pun komen daripada si munah. Mungkin dia telah delete semua komen dia. Si polan memerli, "lain kali kalau tak cukup ilmu, kalau tiada bukti atau hadis, tak payah berlagak pandai, jangan cakap ikut nafsu je." Okay, facepalm!

Dalam situasi di atas, bukan saya nak judge tapi pendapat peribadi, keduanya salah. Salah sebab apa? Si Munah mungkin kurang ilmu dan main taip ikut nafsu, tapi si polan pula bukannya mahu memperbetulkan keadaan sebaliknya, memerli dan gaya bahasanya yang agak kasar. Kadang kadang, sering saya terdengar, 

"Aku tahulah kau hebat dalam hukum Islam, tak payahla nak berlagak sangat. Aku tahula aku bodoh dalam benda benda macam ni, tapi tak payahlah duk perli perli aku. Kalau aku salah kau betulkanlah"

Okay *facepalm lagi sekali* Ramai para daie yang tak sedar akan hal ini. Belajar dahulu apa makna "dakwah bil hikmah" sebelum memberi!


KISAH IMAM MALIK BIN ANAS


 Saya ingin berkongsi dengan kalian mengenai kisah Imam Malik bin Anas. Apakah yang dapat kita ambil daripada kisah beliau. Sila tutup interface web ini jika malas atau tidak mahu meneruskan pembacaan. Terima kasih.

Seorang lelaki menempuh perjalanan yang sangat jauh dari Kota Maghribi ke Madinah dan ianya mengambil masa berbulan-bulan lamanya. Kedatangan lelaki itu ke Madinah tidaklah bertangan kosong sebaliknya membawa beberapa soalan untuk ditanyakan kepada Imam Malik bin Anas. Siapakah yang tidak mengenali Imam Malik? Seorang para hadis yang diakui kehebatannya dalam hafazan dan mujtahid yang sangat disegani! 

Kata Imam Syafi'e, "Apabila datang perbahasan tentang hadis, maka Malik lah bintangnya! Menjadi rujukan fatwa di Madinah bertahun lamanya dan ramai pelajar dari pelosok dunia datang untuk berguru dengannya."


Berbalik pada cerita tadi.


Sesudah sampai di Madinah, lelaki tadi menghadiri majlis ilmu Imam Malik. Dan beberapa ketika, dia bertanyakan soalan kepada Imam Malik. Dan jawapan Imam Malik adalah, "SAYA TIDAK TAHU kerana masalah ini tidak pernah terjadi di negeri kami. Guru guru kami tidak pernah berbicara tentang masalah ini. Sila kamu kembali ke sini pada hari esok."

Keesokan harinya, lelaki tersebut telah bersiap sedia untuk kembali ke negerinya dengan memimpin keldai. Dia sempat bertemu dengan Imam Malik dan bertanyakan soalan yang sama seperti hari sebelumnya.

"Wahai Malik, bagaimana jawapan bagi soalan semalam?"

"Aku masih belum tahu jawapannya"

"Wahai Abu Abdillah, soalan ini diberikan oleh penduduk kotaku di Maghribi. Kata mereka, tiada orang yang lebih alim daripada tuan di muka bumi ini. Apakah yang harus aku katakan kepada mereka nanti?"

"Katakan pada mereka, Malik TIDAK TAHU." kata Malik dengan bersahaja.


BERHATI-HATI


Ye, Imam Malik sangat berhati hati dalam menjawab segala persoalan agama yang diajukan kepadanya. Beliau tidak memaksa diri untuk menjawab sebaliknya dengan tanpa rasa malu mengucapkan kalimah, 
"SAYA TIDAK TAHU".

Ia melambangkan sikap berhati hati seorang alim ketika berbicara atas nama agama. Dia sedar bahawa agama ini berasal daripada Allah yang menurunkan wahyuNya kepada Rasulullah saw dalam bentuk Al-Quran dan Hadis. 

Firman Allah dalam Surah an-Nahl ayat 116 :

"Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta, 'ini halal dan ini haram' untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung."


IBRAH


Apa ibrah yang dapat kita ambil daripada kisah di atas? Manusia yang sifatnya penuh dengan kekurangan. Sebanyak mana ilmu yang kita ada, tetap ada yang kita tidak ketahui. Moga ia jadi motivasi buat diri kita untuk belajar dan terus belajar. Untuk kaji dan terus mengkaji. Jangan pernah rasa malu untuk ucap "saya tidak tahu" bilamana tidak mengetahui tentang sesuatu perkara.

Said bin Jubair berkata, "Seseorang disebut cerdik pandai (ulama) selama ia terus belajar. Apabila ia telah meninggalkan ilmu dan berasa cukup dengan apa yang ia miliki, pada saat itu ia telah menjadi orang jahil"


PENUTUP


Al-Khatib meriwayatkan bahawa Rabi'ah merupakan guru kepada Imam Malik dilihat sedang menangis. Dia ditanya, "mengapa engkau menangis? adakah engkau ditimpa suatu musibah?" Jawabnya, "Tidak, Aku menangis kerana pada hari ini orang orang yamg tidak berilmu diminta fatwa tentang agama. telah terjadi musibah yang sangat besar dalam agama Islam."

Kalaulah Rabi'ah masih hidup pada hari ini, lalu melihat bagaimana hukum Islam dibahaskan dalam media elektronik, media cetak dan Internet, pasti kesedihan membunuh beliau!



Sunday, May 6, 2012

Bila diri rasa lemah

In the name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful

Tiada mood untuk coret tentang kisah hati. Mungkin tahun hadapan.
Terima kasih maksu atas nasihat dan doa.

Tak nampak eh? Click la gambar tu. Tu pun nak ajar-

Saturday, April 28, 2012

Tahniah sahabat! :)

In the name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful

"Allah has already written the names of your spouses for you. What you need to work on is your relationship with Allah. He will send him to you when you are ready. It is only a matter of time."

Bukankah pernikahan itu adalah jalan menuju taqwa? Taqwa dalam erti takut kepada Allah. Takut atas kemurkaanNya jika kita tidak menjaga apa yang menjadi ketentuannya. Sedangkan pernikahan adalah perkara suci atau mitsaqan ghalidza.

Kenapa harus meletakkan diri dengan keraguan? Aku berusaha memaknai ayat di atas sebagai peganganku. Bukan untuk memenangkan diri tetapi memenangkan tuntutan penting iaitu mencapai redhaNya. 

Lalu aku mantapkan tekad dan membangunkan keyakinan, Allah tidak akan memungkiri janji-janjiNya. Aku yakin, suatu masa, pasti Allah akan mengirimkan  hambaNya bagi menjadi pendamping jihadku. Bukankah itu janjiNya, menjadikan setiap makhlukNya berpasang-pasangan?

Ah, biarlah ku simpan harapan ini. Biarlah kuselitkan hanya dalam doaku untuknya. Akan kusiapkan diri bagi menyambutnya suatu saat nanti.

Akan kubaiki diri dan mengasah fikiran sebagai persiapan menjadi calon pasangannya yang baik. Aku akan tetap menjaga prasangkaku dengan Allah.

"Perempuan-perempuan yang keji adalah untuk laki-laki yang keji dan laki-laki yang keji adalah untuk perempuan yang keji, dan perempuan yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk perempuan yang baik. Mereka (yang menuduh itu), bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia (syurga)." An-Nur:26

Ya Rabb, perkenankan doa dan jeritan hati hamba. Semoga ini tidak berlebihan. Kurang daripada 24 jam, sahabatku akan bergelar seorang isteri. Jujurnya aku sangat mencemburuimu sahabat. Bercinta sampai syurga ya. Barakallahu fikum. Gua akan menyusul tak lama lagi :p




Thursday, April 26, 2012

Kami :)

In the name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful

Kenangan kami bertiga di majlis perkahwinan uncle :) 

Saturday, April 14, 2012

Result sem 5

In the name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful

Maka dengan ini berakhir lah subjek subjek programming yang perlu saya ambil untuk meng"complete"kan program 92 credit hours.

Structured programming ; sem 2 ; B
Data structure algorithm ; sem 4 ; B
Web based programming ; sem 5 ; B
Programming concept and design ; sem 5 ; A

Tiba tiba rindu pulak nak belajar subjek programming lagi. Takpe, tunggu degree program ye Hanan.

"Bsc computer science major in software engineering"

Carry marks / course work semester lepas and its final :

Management Infomation System : A

Computer Security : A

Technopreneurship : A

Programming Concept & Design : A

Virtue Versus Vices ; A

Intro to Database Management System : B

Web Based Programming : B

Junior Apprentince ; B



Based on carry marks, the second highest was database tapi dapat B sebab tak perform on final kot. Dan PCD pulak yang dapat A walaupun carry marks rendah teramat sebab perform on paper mungkin. Oh ye, web based programming punya carry marks paling down sebab saya tak buat second lab test. Sedih sedih. Terima kasih keluarga, sahabat mahupun kenalan yang mendoakan diri ini.

5a 3b

Anda rasa pointer saya berapa?

Teka lah sendiri

Bye :)

notakaki : ayat berterabur ibarat rojak dekat kedai depan rumah. maaf. saya baru lepas kena sepak terajang marah sebab amik subjek banyak banyak. kawan kawan saya ambil 4/5 je tak termasuk usrah. tapi nasib baik boleh perform alhamdulillah. 

Friday, April 6, 2012

DSE

In the name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful

Seperti biasa akan saya berterima kasih kepada semua lecturer ketika cuti semester berlangsung. Sedang saya menyemak notification di facebook, terbaca comment Madam yang mengajar saya subjek Programming Concept and Design dan pastinya air mata keharuan menitis pada ketika itu juga.


 Tak pernah saya berharap untuk dapat A- apatah lagi A solid sebab saya hanya the highest on paper sahaja.  Carry mark saya sangat rendah dek kerana tak berapa nak faham memandangkan saya seorang yang slow learner. Dan jujurnya saya tak berapa minat subjek programming alasannya tak faham. Kenapa tak faham? Sebab saya tak fokus dalam kelas. Hehe.

Kesedaran takut gagal tu datang seminggu sebelum final. Jadi saya mengambil keputusan untuk consult dengan dua orang lecturer programming memandangkan programming subjek yang paling saya takuti. Azam terlalu kuat sampai hati kata, "Ah aku nak jugak consult dengan madam berapa banyak yang mungkin sampai madam muntah tengok muka aku kat ICT department." Sebelum berakhirnya consultation, sempat saya pesan pada Madam, "Kalau saya dapat B pun dah bersyukur sangat sangat madam. Janganlah C, drop habis pointer saya nanti."



Cuti sem ni rajin betul text dengan Hudha. Teringin saya untuk memperkenalkan siapa Hudha ni. Beliau ni kawan saya yang paling pandai. Result dari sem 1 sampai sem 4, semuanya above 3.7. Hebat kan? Dan saya menjangkakan result sem 5 dia akan straight A's. Bila saya malas nak bukak buku, bila tiada semangat nak belajar, akan saya call dia. Aura apa ada pada dia sampai semangat belajar kembali pulih. Boleh dikatakan kerap kami study bersama sama. Bila saya tak faham, saya akan cari dia, makanya dia akan meng"explain"kan pada saya. Dan secara tak langsung, bila dia meng"explain"kan pada saya, dia akan ingat setiap apa yang dia ajar. Win win situation. Both get benefit. 

Hudha ajak ambil DSE untuk degree nanti. DSE tu apa dia? Degree in Software Engineering. InsyaAllah apapun istikharah dulu. Bukan apa, takut tak mampu. 

Notakaki : Subjek lain punya carry marks, Alhamdulilah! Tapi programming subjek punya carry mark, sedih je bila aku tengok. Kau dah the highest on paper. Kalau lah carry mark kau power, A memang dalam tanganlah. Kalau lah kalau lah~ Oh aku benci ayat kalau lah :)


Hudha berada di bahagian paling kanan. Di sebelahnya Nina, Madam Norizawati (lecturer math), Sofia, saya dan Fatemeh (gadis Iran)
-Gambar semester lepas-

Sunday, April 1, 2012

Dua Tapak Tangan Itu

In the name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful

Dua tapak tangan itu
Punya sepuluh jari
Dilihatnya berkali-kali
Senyum terukir dibibir
Cantik katanya
Sesempurna kejadian

Dua tapak tangan itu
Dilihatnya berkali-kali
Selang beberapa ketika
Tanpa dia sedari
Mutiara jatuh dipipi mulusnya
Dia melihat tapak tangan itu
Penuh dosa
Penuh noda

Dua tapak tangan itu
Dilihatnya berkali-kali
Rasa kotor
Rasa hina
Walau sudah dilantun
Air mata taubat

Dua tapak tangan itu
Dilihatnya berkali-kali
"Kenapa aku"?
"Kenapa berlaku"?
Seperti tidak bisa memaafkan diri

Dua tapak tangan itu
Dilihatnya berkali-kali
Masih punya rasa itu
Rasa jijik
Rasa kotor
Rasa hina
Walau sudah dilantun
Air mata istighfar
Air mata taubat

Lama dia termenung
Seperti sedang memikir masalah negara
Kembali dia muhasabah diri
Dia seperti terlupa sesuatu
Ikhtilat tidak pernah dia jaga suatu ketika dulu

"Ikhtilat dijaga rapi ketika berada di luar, tapi berapa ramai yang menjaganya ketika berhubung di alam maya? Hatta wanita bertudung labuh sekalipun, bilangan yang betul betul menjaganya boleh dibilang"


"Solehah"
Perkataan solehah itu,
Buatnya rasa gerun,
Buatnya rasa takut
Dia tersedar
Dia menangis
Dia kembali menginsafi diri
 Apakah ibrahnya?
Dia tercari-cari
Apakah hikmahnya?
Dia masih juga mencari
Dia tersenyum pahit lalu berkata

"Jikalau aku tidak melalui semua itu, aku tidak akan menjadi diri aku yang sekarang"

Coretan buku sirah nabawiyyah dibuka
Dibelek satu persatu
Kisah Saidina Umar ditatapnya
Dibaca dengan penuh pemahaman
Selang beberapa ketika
Ada air mata gembira dikelopak matanya

Semoga masih ada keampunan dari Tuhan buat dirinya






Saturday, March 31, 2012

Jom jadi hamba Allah yang bersyukur!

In the name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful

Banyak ayat al-Quran yang membicarakan tentang syukur. Ada ayat al-Quran yang menjelaskan hakikat syukur, perintah bersyukur, balasan bagi orang yang bersyukur dan ancaman bagi orang yang tidak bersyukur. Berikut ini adalah ayat ayat al-Quran yang menerangkan tentang syukur dalam semua dimensinya.

"Maka ingatlah kepadaKu, Aku pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu ingkar kepadaKu."

Surah Al-Baqarah 2:152

"Wahai orang orang yang beriman! Makanlah dari rezeki yang baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah jika kamu hanya menyembah kepadaNya."

Surah Al-Baqarah 2:172

"Dan (ingatlah) ketika Tuhan mu memaklumkan, 'Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepada mu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat."

Surah Ibrahim 14: 7

"...Barangsiapa bersyukur, maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri dan barang siapa ingkar, maka sesungguhnya Tuhan ku Maha Kaya, Maha Mulia."

Surah An-Naml 27:40

"Dan sungguh, telah Kami berikan hikmah kepada Lukman, iaitu 'Bersyukurlah kepada Allah! Dan barang siapa bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri; dan barang siapa yang tidak bersyukur (kufur), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya, Maha Terpuji."

Surah Luqman 31:12

"Allah tidak akan menyeksa mu jika kamu bersyukur dan beriman. Dan Allah Maha Mensyukuri, Maha Mengetahui."

Surah An-Nisa 4:147

"Dan tanah yang baik, tanaman-tanamannya tumbuh subur dengan izin Tuhan dan tanah yang buruk, tanaman-tanamannya tumbuh merana. Demikianlah Kami menjelaskan berulang-ulang tanda-tanda (kebesaran Kami) bagi orang-orang yang bersyukur."

Surah Al-A'raf 7:58

"Dan apakah dugaan orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah pada hari kiamat? Sesungguhnya Allah benar-benar mempunyai kurnia (yang dilimpahkan) kepada manusia, tetapi kebanyakan mereka tidak bersyukur."

Surah Yunus 10:60

"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepada mu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat."

Surah Ibrahim 14:7

"Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunan ku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, Ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka melaksanakan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berilah mereka rezeki dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur."

Surah Ibrahim 14:37

"Dan kami jadikan padanya di bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur dan Kami pancarkan padanya beberapa mata air, agar mereka dapat makan dari buahnya dan dari hasil usaha tangan mereka. Maka mengapa mereka tidak bersyukur?"

Surah Yasin 36:34-35

"...Allah menghendaki kemudahan bagi mu dan tidak menghendaki kesukaran bagi mu. Hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepada mu agar kamu bersyukur."

Surah Al-Baqarah 2:185

"...Allah tidak ingin menyulitkan kamu, tetapi Dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya bagi mu agar kamu bersyukur."

Surah Al-Maidah 5:6

"Jika kamu kafir (ketahuilah), maka sesungguhnya Allah tidak memerlukan mu dan Dia tidak meredai kekafiran hamba-hambaNya. Jika kamu bersyukur, Dia meredai kesyukuran mu itu..."

Surah Az-Zumar 39:7

"...Sesungguhnya apa yang kamu sembah selain Allah itu tidak mampu memberikan rezeki kepada mu; maka mintalah rezeki dari Allah dan sembahlah Dia dan bersyukurlah kepada-Nya. Hanya kepada-Nya kamu akan dikembalikan."

Surah Al-Ankabut 29:17

"Sungguh, bagi kaum Saba ada tanda (kebesaran Tuhan di tempat kediaman mereka), iaitu dua buah kebun disebelah kanan dan disebelah kiri (kepada mereka dikatakan), 'Makanlah oleh mu dari rezeki yang (dianugerahkan) Tuhan mu dan bersyukurlah kepada-Nya. (Negeri mu) adalah negeri yang baik (nyaman) sedang (Tuhan mu) adalah Tuhan Yang Maha Pengampun."

Surah Saba 34:15


Yang dimaksudkan Allah Maha Mensyukuri adalah Allah memberi pahala terhadap amal hamba-Nya, memaafkan kesalahan hamba-Nya dan menambah nikmat bagi hamba-Nya. Mari sama-sama jadi hamba Allah yang bersyukur.