Monday, May 28, 2012

Apa yang saya tahu...

In the name of Allah The Gracious and The Most Merciful


Semakin meningkat usia, semakin dekat kita dengan kematian. Kita tahu tarikh kelahiran kita, tapi kita tidak pernah tahu tarikh kematian kita. Semalam kita buat perkara lagha, sebelum tidur kita muhasabah diri dan kita pastikan hari esok lebih baik daripada hari sebelumnya. Kita bertekad, kita berazam, diri kita terasa lebih motivasi. Tapi keesokan harinya, apa yang kita tekad, apa yang kita azam semuanya jadi basi. Kita kecewa. Dan malamnya sebelum tidur, kita muhasabah semula diri dan begitulah untuk hari hari seterusnya. 

Itu normal. Kerana kita manusia biasa. Manusia yang punya nafsu. Iblis laknatullah itu licik dan akan terus menyesatkan cucu cicit adam hingga ke akhirnya seperti janjinya dalam Surah Al-'Aaraf ayat 17.


"Kerana Engkau telah menghukum aku tersesat, aku benar benar akan (menghalangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus, kemudian aku akan mendatangi mereka dari mula dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat)."


Rakan kita berselisih faham. Kedua duanya bercerita pada kita. Pilihan ditangan kita sama ada kita mahu memporak perandakan keadaan dengan talam dua muka atau hanya mempercayai cerita sebelah pihak sahaja atau kita mahu memulihkan keadaan, menjadi seorang yang matang dengan menjadi pendengar setia lalu memikirkan bagaimana cara dan langkah agar semuanya pulih seperti sediakala.

Kita mungkin memilih untuk jadi orang tengah kerana tidak mahu persahabatan yang makin berbuah ranum, jatuh dan gugur dengan keadaan yang busuk dan berulat. Kita menyatakan pada mereka bahawa kita bukanlah orang yang berhak mengatakan dia ini betul dia ini salah. Andai si kawan tidak mahu lagi berkawan dengan kita dek kerana kita tidak mahu mempercayai setiap isi dan cerita dia, jangan pernah berasa sedih kerana kita berada di pihak yang benar. Si dia menjauhkan diri mungkin terasa hati dengan perlakuan kita tapi hakikatnya kita tidak ingin berkelakuan begitu. Sedih? Ye sedih. Kita mungkin tertanya tanya. Kenapa dia bersikap kebudak budakan begitu? Tika itu, hati kita berbisik, liciknya engkau iblis laknatullah. Kau berjaya porak perandakan kami. 

Manusia itu sifatnya kadang kadang positif, kadang kadang negatif. Si positif dan si negatif saling memerlukan antara satu sama lain. Pendek cerita saling melengkapi. Ye, manusia sentiasa berdepan pergolakan dan pancaroba yang menguji keimanan, lalu tersungkur dan rebah akibat tergoda ajakan hawa nafsu.

Terkadang, saya seperti letih dengan kehidupan fatamorgana ini. Kerana kadang kadang kita juga terlibat sama dalam masalah yang bukan kita sendiri bangkitkan. Sepanjang 20 tahun saya hidup, saya tidak pernah rasa bahagia hidup di dunia ini. Saya hanya bahagia bila mengingati Dia dan membaca setiap firmanNya. Kerana setiap firmanNya itu pasti. Dia tidak pernah memungkiri hamba-hambaNya.


Apa yang saya tahu...

Setiap pagi sebelum ke kelas, saya akan menelefon ummi dan abah. Minta maaf dan mohon restu daripada mereka. Tak sayang kredit ke hari hari call? Tanya diri, kita tahu ke tarikh kematian mereka? Kalau boleh habiskan kredit menelefon buah hati yang belum tentu jadi pasangan hidup semati kita, takkan kita tak boleh habiskan untuk seorang ayah yang penat membanting tulang siang dan malam mencari rezeki untuk kita? Untuk ibu yang membawa kita selama 9 bulan dan bersusah payah melahirkan kita? Cecuba fikir. Advance sikit, bila kita punya anak nanti, kita nak anak kita bersikap seperti kita yang sekarang?


Apa yang saya tahu...

Belajar memaafkan orang walaupun kita berada di pihak yang benar. Perkara ini mematangkan kita. Saya tak tipu. Advance lagi, kita mesti mahu anak kita belajar memaafkan orang suatu ketika nanti. Bagaimana? Semuanya bermula dengan diri kita.


Apa yang saya tahu...

Baca al-mathurat selepas subuh dan asar/maghrib. Surah al-Mulk sebelum tidur untuk keamanan dan keselamatan, kerana ia menjadi penyelamat dan pendinding dari seksa kubur kepada pembacanya. Baca Surah al-Kahf setiap hari jumaat. Saya akui surah itu agak panjang. Kalau tidak mampu untuk baca sekaligus, bahagikan kepada beberapa muka surat dan baca ketika waktu subuh, zohor, asar, maghrib dan isyak. Menunaikan solat sunat Dhuha. 2 rakaat sahaja. Kelas saya untuk semester pendek ini bermula pukul 10 pagi jadi tiada alasan untuk meninggalkan melainkan ketika uzur syari'e. Buat tahajud disepertiga malam jika saya tidak stay up hingga ke pagi dek kerana tugasan yang bertimbun. Dan Alhamdulillah saya telah berjaya menghafal surah Luqman. Alhamdulilah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Saya berasa sangat gembira.


Apa yang saya tahu...

Saya malas untuk mengambil tahu hal rakan rakan. Ini menunjukkan saya memang tidak peduli akan hal ummat. Bukan begitu. Mana yang saya perlu bantu dan apabila mereka minta bantuan, saya pasti akan bantu. Malas disini bermaksud malas untuk terlalu memikirkan hal hal yang remeh temeh. Tapi hal remeh itulah yang perlu diambil tahu untuk mengelakkan ia daripada menjadi besar. Benar. Tapi jika saya sudah berusaha sehabis baik, masih tiada perubahan, maka cukuplah sampai disitu dan saya serahkan kepada Allah. Terlalu banyak perkara lain lagi yang harus saya fikir.


Apa yang saya tahu...

Selepas pulang dari kelas, saya akan tetap ke dapur untuk memasak. Saya anggap ia sebagai latihan buat diri sebelum melangkah ke alam rumahtangga. Bila dah kahwin, penat macam mana sekalipun, makanan harus disediakan buat si suami dan anak anak tercinta. Dan dalam seminggu, saya harus belajar satu resipi baru.



-Coretan kata penuh perasaan di meja makan B-5-11, Gombak.-






























No comments:

Post a Comment