Monday, May 28, 2012

Apa yang saya tahu...

In the name of Allah The Gracious and The Most Merciful


Semakin meningkat usia, semakin dekat kita dengan kematian. Kita tahu tarikh kelahiran kita, tapi kita tidak pernah tahu tarikh kematian kita. Semalam kita buat perkara lagha, sebelum tidur kita muhasabah diri dan kita pastikan hari esok lebih baik daripada hari sebelumnya. Kita bertekad, kita berazam, diri kita terasa lebih motivasi. Tapi keesokan harinya, apa yang kita tekad, apa yang kita azam semuanya jadi basi. Kita kecewa. Dan malamnya sebelum tidur, kita muhasabah semula diri dan begitulah untuk hari hari seterusnya. 

Itu normal. Kerana kita manusia biasa. Manusia yang punya nafsu. Iblis laknatullah itu licik dan akan terus menyesatkan cucu cicit adam hingga ke akhirnya seperti janjinya dalam Surah Al-'Aaraf ayat 17.


"Kerana Engkau telah menghukum aku tersesat, aku benar benar akan (menghalangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus, kemudian aku akan mendatangi mereka dari mula dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat)."


Rakan kita berselisih faham. Kedua duanya bercerita pada kita. Pilihan ditangan kita sama ada kita mahu memporak perandakan keadaan dengan talam dua muka atau hanya mempercayai cerita sebelah pihak sahaja atau kita mahu memulihkan keadaan, menjadi seorang yang matang dengan menjadi pendengar setia lalu memikirkan bagaimana cara dan langkah agar semuanya pulih seperti sediakala.

Kita mungkin memilih untuk jadi orang tengah kerana tidak mahu persahabatan yang makin berbuah ranum, jatuh dan gugur dengan keadaan yang busuk dan berulat. Kita menyatakan pada mereka bahawa kita bukanlah orang yang berhak mengatakan dia ini betul dia ini salah. Andai si kawan tidak mahu lagi berkawan dengan kita dek kerana kita tidak mahu mempercayai setiap isi dan cerita dia, jangan pernah berasa sedih kerana kita berada di pihak yang benar. Si dia menjauhkan diri mungkin terasa hati dengan perlakuan kita tapi hakikatnya kita tidak ingin berkelakuan begitu. Sedih? Ye sedih. Kita mungkin tertanya tanya. Kenapa dia bersikap kebudak budakan begitu? Tika itu, hati kita berbisik, liciknya engkau iblis laknatullah. Kau berjaya porak perandakan kami. 

Manusia itu sifatnya kadang kadang positif, kadang kadang negatif. Si positif dan si negatif saling memerlukan antara satu sama lain. Pendek cerita saling melengkapi. Ye, manusia sentiasa berdepan pergolakan dan pancaroba yang menguji keimanan, lalu tersungkur dan rebah akibat tergoda ajakan hawa nafsu.

Terkadang, saya seperti letih dengan kehidupan fatamorgana ini. Kerana kadang kadang kita juga terlibat sama dalam masalah yang bukan kita sendiri bangkitkan. Sepanjang 20 tahun saya hidup, saya tidak pernah rasa bahagia hidup di dunia ini. Saya hanya bahagia bila mengingati Dia dan membaca setiap firmanNya. Kerana setiap firmanNya itu pasti. Dia tidak pernah memungkiri hamba-hambaNya.


Apa yang saya tahu...

Setiap pagi sebelum ke kelas, saya akan menelefon ummi dan abah. Minta maaf dan mohon restu daripada mereka. Tak sayang kredit ke hari hari call? Tanya diri, kita tahu ke tarikh kematian mereka? Kalau boleh habiskan kredit menelefon buah hati yang belum tentu jadi pasangan hidup semati kita, takkan kita tak boleh habiskan untuk seorang ayah yang penat membanting tulang siang dan malam mencari rezeki untuk kita? Untuk ibu yang membawa kita selama 9 bulan dan bersusah payah melahirkan kita? Cecuba fikir. Advance sikit, bila kita punya anak nanti, kita nak anak kita bersikap seperti kita yang sekarang?


Apa yang saya tahu...

Belajar memaafkan orang walaupun kita berada di pihak yang benar. Perkara ini mematangkan kita. Saya tak tipu. Advance lagi, kita mesti mahu anak kita belajar memaafkan orang suatu ketika nanti. Bagaimana? Semuanya bermula dengan diri kita.


Apa yang saya tahu...

Baca al-mathurat selepas subuh dan asar/maghrib. Surah al-Mulk sebelum tidur untuk keamanan dan keselamatan, kerana ia menjadi penyelamat dan pendinding dari seksa kubur kepada pembacanya. Baca Surah al-Kahf setiap hari jumaat. Saya akui surah itu agak panjang. Kalau tidak mampu untuk baca sekaligus, bahagikan kepada beberapa muka surat dan baca ketika waktu subuh, zohor, asar, maghrib dan isyak. Menunaikan solat sunat Dhuha. 2 rakaat sahaja. Kelas saya untuk semester pendek ini bermula pukul 10 pagi jadi tiada alasan untuk meninggalkan melainkan ketika uzur syari'e. Buat tahajud disepertiga malam jika saya tidak stay up hingga ke pagi dek kerana tugasan yang bertimbun. Dan Alhamdulillah saya telah berjaya menghafal surah Luqman. Alhamdulilah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Saya berasa sangat gembira.


Apa yang saya tahu...

Saya malas untuk mengambil tahu hal rakan rakan. Ini menunjukkan saya memang tidak peduli akan hal ummat. Bukan begitu. Mana yang saya perlu bantu dan apabila mereka minta bantuan, saya pasti akan bantu. Malas disini bermaksud malas untuk terlalu memikirkan hal hal yang remeh temeh. Tapi hal remeh itulah yang perlu diambil tahu untuk mengelakkan ia daripada menjadi besar. Benar. Tapi jika saya sudah berusaha sehabis baik, masih tiada perubahan, maka cukuplah sampai disitu dan saya serahkan kepada Allah. Terlalu banyak perkara lain lagi yang harus saya fikir.


Apa yang saya tahu...

Selepas pulang dari kelas, saya akan tetap ke dapur untuk memasak. Saya anggap ia sebagai latihan buat diri sebelum melangkah ke alam rumahtangga. Bila dah kahwin, penat macam mana sekalipun, makanan harus disediakan buat si suami dan anak anak tercinta. Dan dalam seminggu, saya harus belajar satu resipi baru.



-Coretan kata penuh perasaan di meja makan B-5-11, Gombak.-






























Sunday, May 27, 2012

Amazing Race!

In the name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful


Saya ingin berkongsi dengan kalian tentang pembacaan yang saya baca dalam majalah solusi terbaru iaitu mengenai Sperma dan Ovum nukilan Dr Farhan Hadi. Pelajar biologi atau sains pasti sudah expert tentang hal-hal ini. Tapi suka saya berkongsi tentang ini kerana ianya berkait rapat dengan proses kejadian manusia oleh yang maha Mencipta. Saya teruja. SubhanaAllah.

Apakah yang berlaku setelah air mani dipancarkan ke dalam rahim seorang wanita? Saya ingin memberi sedikit gambaran. Ketika itu kita hanya berupa satu sel dan bersaiz sangat kecil dan hanya dapat dilihat melalui mikroskop. Maklumat genetik yang terkandung dalam badan kita tidak lengkap iaitu hanya separuh daripada badan manusia. Mana separuh lagi? Separuh lagi apabila ia bercantum dengan ovum. Percantuman sperma dengan ovum akan membentuk satu sel yang mengandungi genetik yang lengkap (separuh daripada lelaki dan separuh daripada wanita) dan akan menjadi manusia kelak.

Apabila berlaku ejakulasi semasa persetubuhan antara lelaki dan wanita, kira-kira 250 juta sel sperma dibebaskan dan kita adalah salah satu daripadanya. Destinasi akhir bagi sperma adalah ovum. Ia dihasilkan di ovari dan bergerak ke tiup fallopio untuk disenyawakan.

Ini merupakan satu perlumbaan hebat dan lebih hebat daripada mana-maa The Amazing Race yang kita saksikan di dunia ini. Perlumbaan ini disertai oleh 250 juta sel dan hanya satu yang terpilih sebagai juara. Tidak ada tempat kedua atau ketiga. Yang kecundang, pasti akan mati. Bersaing dengan ratusan juta bukanlah mudah. Pelbagai halangan dan rintangan yang perlu ditempuhi untuk sampai ke destinasi. 

Secara kasarnya, jarak yang perlu ditempuh iaitu dari pangkal rahim ke tiup fallopio adalam 6 atau 7 inci. Secara perbandingan dengan saiz sperma, jarak yang harus ditempuh umpama melengkapkan lebih 100 pusingan kolam renang bersaiz taraf sukan olimpik iaitu 60 Kilometer. SubhanaAllah!

Rintangan pertama yang harus ditempuh sebaik sahaja keluar dari pangkal rahim. Kenapa? Kerana kondisi pangkal rahim yang sangat berbahaya yang menghasilkan cecair berasid. Ianya sangat tidak sesuai untuk sel kerana probability untuk sel terbunuh sangat tinggi! Dalam 250 juta sel, hanya kira-kira 40 juta sel sahaja berjaya melepasi halangan pertama dan selebihnya yang kecundang akan mati.

Rintangan lain yang perlu ditempuh dalam masa yang singkat banyak dibunuh oleh sel darah putih yang bertugas untuk menyaring bakteria dan juga bendasing daripada memasuki rahim. Ada yang tersesat, ada yang berpatah balik dan tersalah arah seterusnya mati.

Secara purata, sel boleh hidup antara 3 hingga 5 hari tetapi perjalanan ke destinasi harus ditempuh dengan segera kerana purata sel boleh sampai ke destinasinya dalam masa 45 minit hingga 1 jam. 

Okay, perlumbaan masih belum tamat! Daripada 40 juta sel yang kecundang dalam perjalanan ke tiub fallopio, hanya 100 sel sahaja yang berjaya sampai ke destinasi ovum tapi hanya seorang pemenang yang akan dipilih dan disenyawakan untuk menjadi manusia. 

Habis tu yang kembar macam mana pula? Tett tett. Itu akan saya kongsikan di lain penulisan. Iyelah , saya bukan pelajar biologi. Saya belajar kimia dan fizik je. Tapi dulu masa tingkatan 3 kan ada belajar? Haaaaa. Okay facepalm. Manalah saya ingat!

Berbalik pada cerita tadi. Dengan izin Allah, satu sel sahaja yang berjaya menerobos masuk ke dalam sel ovum dan penyatuan berlaku. Satu sel tersebut ialah kita. Kitalah juara. Kita telah menjulang piala kemenangan sebagai permulaan berlakunya proses untuk menjadi khalifah Allah di muka bumi.

Apabila dua sel bertemu, maka sempurna kejadian satu sel yang akan menjadi seorang manusia. Daripada satu sel, ia menggandakan diri dengan cepat menjadi 2, 4, 16 dan seterusnya menjadi segumpal darah lalu membentuk seketul daging. Sambil menggandakan dirinya, ia mula bergerak dari tiup fallopio ke dinding rahim lalu menempel. 

SubhanaAllah begitu ajaib proses kejadian manusia menurut hukum Allah. Pertemuan dua sel yang terlalu kecil membawa kepada peniupan roh oleh Allah seterusnya menjadi manusia. Tidak mungkin proses yang hebat ini berlaku sendiri tanpa ada kuasa yang mengawalnya.


Firman Allah dalam Surah Al-Waqi'ah ayat 57-59 :

"Kami telah menciptakan kamu, maka mengapa kamu tidak membenarkan? Maka terangkan kepadaku tentang nutfah yang telah kamu pancarkan. Adakah kamu yang menciptakannya atau Kami yang menciptakannya?"

Ibrah melalui proses kejadian ini adalah apabila kita berasa lemah dan banyak kekurangan berbanding orang lain, ingatlah bahawa kitalah juara antara 250 juta peserta suatu ketika dahulu. Allah telah menciptakan kita melalui satu proses yang sangat hebat dan sempurna. Tentu sekali tujuan kita diciptakan adalah untuk beribadat dan beramal soleh.


Firman Allah dalam Surah At-Tin ayat 4-6 :

"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat serendah-rendahnya (neraka). Kecuali orang beriman dan mengerjakan amal soleh, maka bagi mereka pahala yang tidak putus-putus."


Allah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya? Habis tu kenapa ada yang lahir dalam bentuk tiada kaki, tiada tangan, mulut sumbing, cacat, down sindrom dan sebagainya. Astaghfirullah. Istighfar semuanya. Mereka istimewa. Kerana Allah ingin menghadiahkan mereka sebuah taman firdausi buat mereka. Beruntunglah bagi mereka yang redha dan sabar.





Yeay, among 250 million, I'm the winner

:)


Saturday, May 26, 2012

Saya tak tahu!

In the name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful


Seringkali kita lihat "mereka" bertelagah di luar sana mahupun dalam alam maya. Bertelagah tentang apa? Apa yang saya ingin sampaikan disini adalah bertelagah ketika membahaskan hukum Islam dan sebagainya. Contohnya kalau anda lihat di facebook, terlalu banyak perkara yang dibahaskan dan akhirnya membawa kepada kemudaratan iaitu pergaduhan kecil. 

Saya petik kata kata seorang kawan, "buat buat bodoh tu bagus sebenarnya, itu lagi susah kantoi dan kalau kantoi pun, takdelah malu sangat daripada kau buat buat pandai, nak kantoi senang, dah la pulak bila kantoi, malu badan sendiri lagi."

Pernah suatu ketika berlaku suatu pergaduhan kecil di status facebook saya antara si polan dan si munah. Membahaskan sesuatu berkaitan hukum Islam. Saya hanya diam dan memerhati, nak balas, tapi tak cukup ilmu. Jadi lebih baik diam lalu saya menutup facebook untuk meneruskan kerja dan beberapa jam kemudian saya membukanya semula. Dan apa jadi selepas itu? Saya lihat tiada satu pun komen daripada si munah. Mungkin dia telah delete semua komen dia. Si polan memerli, "lain kali kalau tak cukup ilmu, kalau tiada bukti atau hadis, tak payah berlagak pandai, jangan cakap ikut nafsu je." Okay, facepalm!

Dalam situasi di atas, bukan saya nak judge tapi pendapat peribadi, keduanya salah. Salah sebab apa? Si Munah mungkin kurang ilmu dan main taip ikut nafsu, tapi si polan pula bukannya mahu memperbetulkan keadaan sebaliknya, memerli dan gaya bahasanya yang agak kasar. Kadang kadang, sering saya terdengar, 

"Aku tahulah kau hebat dalam hukum Islam, tak payahla nak berlagak sangat. Aku tahula aku bodoh dalam benda benda macam ni, tapi tak payahlah duk perli perli aku. Kalau aku salah kau betulkanlah"

Okay *facepalm lagi sekali* Ramai para daie yang tak sedar akan hal ini. Belajar dahulu apa makna "dakwah bil hikmah" sebelum memberi!


KISAH IMAM MALIK BIN ANAS


 Saya ingin berkongsi dengan kalian mengenai kisah Imam Malik bin Anas. Apakah yang dapat kita ambil daripada kisah beliau. Sila tutup interface web ini jika malas atau tidak mahu meneruskan pembacaan. Terima kasih.

Seorang lelaki menempuh perjalanan yang sangat jauh dari Kota Maghribi ke Madinah dan ianya mengambil masa berbulan-bulan lamanya. Kedatangan lelaki itu ke Madinah tidaklah bertangan kosong sebaliknya membawa beberapa soalan untuk ditanyakan kepada Imam Malik bin Anas. Siapakah yang tidak mengenali Imam Malik? Seorang para hadis yang diakui kehebatannya dalam hafazan dan mujtahid yang sangat disegani! 

Kata Imam Syafi'e, "Apabila datang perbahasan tentang hadis, maka Malik lah bintangnya! Menjadi rujukan fatwa di Madinah bertahun lamanya dan ramai pelajar dari pelosok dunia datang untuk berguru dengannya."


Berbalik pada cerita tadi.


Sesudah sampai di Madinah, lelaki tadi menghadiri majlis ilmu Imam Malik. Dan beberapa ketika, dia bertanyakan soalan kepada Imam Malik. Dan jawapan Imam Malik adalah, "SAYA TIDAK TAHU kerana masalah ini tidak pernah terjadi di negeri kami. Guru guru kami tidak pernah berbicara tentang masalah ini. Sila kamu kembali ke sini pada hari esok."

Keesokan harinya, lelaki tersebut telah bersiap sedia untuk kembali ke negerinya dengan memimpin keldai. Dia sempat bertemu dengan Imam Malik dan bertanyakan soalan yang sama seperti hari sebelumnya.

"Wahai Malik, bagaimana jawapan bagi soalan semalam?"

"Aku masih belum tahu jawapannya"

"Wahai Abu Abdillah, soalan ini diberikan oleh penduduk kotaku di Maghribi. Kata mereka, tiada orang yang lebih alim daripada tuan di muka bumi ini. Apakah yang harus aku katakan kepada mereka nanti?"

"Katakan pada mereka, Malik TIDAK TAHU." kata Malik dengan bersahaja.


BERHATI-HATI


Ye, Imam Malik sangat berhati hati dalam menjawab segala persoalan agama yang diajukan kepadanya. Beliau tidak memaksa diri untuk menjawab sebaliknya dengan tanpa rasa malu mengucapkan kalimah, 
"SAYA TIDAK TAHU".

Ia melambangkan sikap berhati hati seorang alim ketika berbicara atas nama agama. Dia sedar bahawa agama ini berasal daripada Allah yang menurunkan wahyuNya kepada Rasulullah saw dalam bentuk Al-Quran dan Hadis. 

Firman Allah dalam Surah an-Nahl ayat 116 :

"Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta, 'ini halal dan ini haram' untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung."


IBRAH


Apa ibrah yang dapat kita ambil daripada kisah di atas? Manusia yang sifatnya penuh dengan kekurangan. Sebanyak mana ilmu yang kita ada, tetap ada yang kita tidak ketahui. Moga ia jadi motivasi buat diri kita untuk belajar dan terus belajar. Untuk kaji dan terus mengkaji. Jangan pernah rasa malu untuk ucap "saya tidak tahu" bilamana tidak mengetahui tentang sesuatu perkara.

Said bin Jubair berkata, "Seseorang disebut cerdik pandai (ulama) selama ia terus belajar. Apabila ia telah meninggalkan ilmu dan berasa cukup dengan apa yang ia miliki, pada saat itu ia telah menjadi orang jahil"


PENUTUP


Al-Khatib meriwayatkan bahawa Rabi'ah merupakan guru kepada Imam Malik dilihat sedang menangis. Dia ditanya, "mengapa engkau menangis? adakah engkau ditimpa suatu musibah?" Jawabnya, "Tidak, Aku menangis kerana pada hari ini orang orang yamg tidak berilmu diminta fatwa tentang agama. telah terjadi musibah yang sangat besar dalam agama Islam."

Kalaulah Rabi'ah masih hidup pada hari ini, lalu melihat bagaimana hukum Islam dibahaskan dalam media elektronik, media cetak dan Internet, pasti kesedihan membunuh beliau!



Monday, May 14, 2012

Berlakon lagi.

In the name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful

7 May 2012, Kelab aku iaitu Information Technology Club, iTEC telah mengadakan event Video Editing Competition and Prizing Ceremony. Event tu harus dirasmikan oleh Manager STADD iaitu Puan Ros (bukan nama sebenar).

Kami berfikir dengan kreatif bagaimana untuk buat perasmian jadi lebih outstanding. Boring lah asyik perasmian yang ucapannya panjang melebar. Jadi kami mengambil keputusan untuk membuat satu gimik. 



Mungkin ada yang tak faham tentang jalan cerita video gimik ni. Biar aku explainkan. Director program ini adalah Hudha dan Asst Director adalah Sofia. Di tangan Alif punya pendrive yang mengandungi video-video yang bakal dipertandingkan dan diberi markah oleh para juri. 

Sofia ingin merampas pendrive tersebut dan sabotaj program Hudha supaya program hancur. Oleh kerana pendrive di tangan Alif, jadi Alif diculik. Video part 1 berakhir dengan Syakir bertanya Alif dimanakah pendrive tersebut. Kata Alif, pendrive tu berada di sebuah taman (kononnya Alif tahu). 

Video part 2 menunjukkan Syakir berada di sebuah taman dan setelah jumpa pendrive tersebut lalu ditariknya keluar daripada laptop. Syakir harus bergegas untuk ke Great Hall untuk beri pendrive supaya Puan Ros dapat merasmikan event tersebut. Malangnya Syakir keliru antara IIUM dan IIC. Dan diakhir Video Part 2, ceritanya kelihatan tergantung selepas Syakir menolak daun pintu Great Hall, IIC.

Kenapa tergantung? Sebab berakhirnya video ini, Syakir akan masuk Great Hall dengan keadaan dia berpakaian seperti dalam video dan menyerahkan pendrive yang mengandungi video-video yang dipertandingkan seterusnya dirasmikan oleh Puan Ros.

-Tamat-

Notakaki : Aku tak pandai berlakon. Aku banyak gelak kot sebab berlakon tanpa script. Spontan kot. Bila aku tengok semula, ayat aku agak kasar. Watak aku watak jahat, aku tak selamatkan pun alif. Buat dunno je. Okay dalam video tak sama dengan the real one. Hehe. Tahniah kepada semua mainboard. 11 lelaki, 3 perempuan.

Sunday, May 6, 2012

Bila diri rasa lemah

In the name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful

Tiada mood untuk coret tentang kisah hati. Mungkin tahun hadapan.
Terima kasih maksu atas nasihat dan doa.

Tak nampak eh? Click la gambar tu. Tu pun nak ajar-