Saturday, August 6, 2011

Ramai Pengajar, Sedikit Pendidik

Bulan lalu, sewaktu mengendalikan program latihan untuk sebuah organisasi, perbezaan makna antara "tahu" dan "sedar" telah menimbulkan satu diskusi yang menarik.

"Tahu di akal. Sedar di hati..." kata saya.

"Maaf, tak jelas. Apa sebenarnya maksud awak?"

"Dengan akal kita mengetahui sesuatu... tetapi hanya dengan hati kita menyedarinya," tambah saya.

"Masih kabur..." akuinya terus terang.

"Kebanyakan manusia tahu dia hamba Allah, tetapi tak sedar dia hamba Allah," jelas saya.

Perlahan dia mengangguk. Mungkin mula memahaminya.

"Akibatnya, ramai manusia sanggup melakukan kejahatan walaupun tahu sebagai hamba Allah tidak sewajarnya dia berbuat demikian."

"Itulah akibat hanya tahu tapi tak sedar," dia mencelah.

"Dan itulah juga puncanya ada orang melakukan kejahatan walaupun  ilmu agamanya melangit. Dia hanya tahu tapi tak sedar."

"Belajar tauhid sekadar hafalan, bukan penghayatan!"

"Pelajar sekolah agama pun terlibat jenayah," tambahnya lagi.

"Hakim mahkamah syariah pun didakwa rasuah," dia terus menambah.

Saya hanya diam.

"Bagaimana kita nak sedar?" Tiba-tiba dia menyoal.

"Pindahkan ilmu yang di kepala ke dalam hati!" balas saya.

"Kita mesti mendidik bukan sekadar mengajar," tambah saya lagi.

"Apa bezanya mendidik dan mengajar?"

"Mengajar dengan memberitahu, memahamkan dan menyampaikan..."

"Mendidik pula?" Dia menyampuk seakan tidak sabar.

"Mendidik ialah dengan mengajak, mendorong, membimbing dan memantau..."

"Jadi sekarang kita banyak mengajar daripada mendidik?"

"Begitulah..."

"Boleh berikan contoh?"

"Mengajar sembahyang ialah dengan menyampaikan ilmunya. Tentang sah, batal, rukun dan syarat. Hasilnya, pelajar kita tahu sembahyang."

"Mendidik sembahyang?"

"Mendidik lebih pula pada mengajak. Kita ajak pelajar sama-sama bersembahyang dengan kita. Kita jadi role-modelnya. Jika mereka malas, kita dorong. Jika salah, kita membetulkannya. Hasilnya, pelajar akan mahu bersembahyang."

"Oh, mahu bersembahyang... bukan sekadar tahu sembahyang."

"Saya pernah dengar ungkapan Inggeris - 'I need to pray' berbanding 'I have to pray'. Macam mana tu?"

"I need to pray tu lebih baik. Itu datang daripada kerelaan. Manakala I have to pray tu lebih berkesan kepada paksaan. Ibadah dengan rela lebih baik daripada terpaksa."

"Bagaimana dengan paksa rela?"

Saya senyum. Pandai dia berbahasa.

"Mendidik manusia begitulah. Mula-mula paksa dulu, lama-lama insyaAllah timbul rela. Alah bisa tegal biasa. Itulah prinsip mendidik. Pertama menyampaikan, kedua membimbing. Jika belum berkesan, tingkatkan dorongan. Jika belum lagi berjaya, baru gunakan hukuman. Paksa. Bahkan, dibolehkan memukul. Bukan untuk menyakiti, tetapi mendidik."

"Malang..." keluhnya pendek.

"Mengapa?" tanya saya.

"Sekarang ni ramai pengajar, sedikit pendidik."

"Ilmu agama sekadar jadi hafalan otak kiri yang tidak melahirkan tindakan. Ada yang dapat A1 dalam agama, tetapi tidak solat. Ilmu hanya ditumpahkan dalam kertas peperiksaan bukan dalam realiti kehidupan."

"Belajar solat berbeza dengan belajar matematik. Tapi kini dah nampak macam sama," tambah saya.

"Macam mana pula tu?"

"Belajar tentang solat tidak sama dengan matematik. Belajar tentang solat wajib melaksanakannya tapi matematik... tidak begitu. Awak misalnya, dalam bidang kedoktoran sekarang... Ada guna ilmu algebra yang dipelajari dulu?"

Dia senyum. Menggelengkan kepala.

"Mengapa kita kurang pendidik?"

"Eh, saya bukan pakarlah. Ini soal besar..."

"Apa salahnya kita berbincang. Inikan masalah kita. Masalah anak-anak kita," ujarnya.

"Sebab kita tidak mendidik para pendidik!"

"Profesion perguruan dilihat tidak menarik dari segi ganjaran. Ganjarannya masih di belakang bidang-bidang lain yang lebih hebat seperti jurutera, akauntan dan doktor... sedangkan tanggungjawab, peranan dan tugasnya berat."

"Betulkah doktor lebih hebat daripada guru? Er, er... maksud saya pendidik?"

"Hebat dari segi apa?"

"Kenapa awak tanya begitu?"

"Sebab, setiap profesion ada keistimewaannya tersendiri. lebih tepat kalau ditanyakan apa keistimewaan golongan pendidik?"

"Apa keistimewaan seorang pendidik?" Dia akur.

"Ilmu adalah amal jariah. Pahalanya berterusan selepas kematian. Pendidik adalah golongan yang paling dekat dengan tugas para rasul. Kerana dia mendidik modal yang paling berharga - modul insan. Jurutera hanya berdepan dengan mesin dan alat-alat teknologi tetapi pendidik berdepan dengan dengan sikap dan peribadi teknorat itu sendiri. Doktor menangani penyakit lahiriah, pendidik menangani masalah rohani."

"Jadi awak kata jurutera dan doktor tak pentinglah?"

"Tidak begitu. Bukankah saya katakan tadi... masing-masing ada keistimewaannya. Yang saya tegaskan di sini ialah keistimewaan pendidik berbanding profesion yang lain. Tetapi lain pula ceritanya kalau kita fokuskan keistimewaan jurutera dan doktor berbanding profesion yang lain."

Dia ketawa!

"Tetapi tidak semua orang melihat begitu. Masih ramai yang menilai dari sudut  gaji dan ganjaran."

"Biarlah orang lain rasa begitu tetapi golongan pendidik tidak boleh merasakan begitu. Pendidik wajib memandang tinggi profesionnya sendiri. Jangan kesal kalau diri tidak dihargai tetapi kesalnya kalau diri benar-benar tidak berharga. Maksudnya, pendidik mesti ada harga diri yang tinggi."
"Barulah mereka boleh berjaya mendidik. Ganjaran pahala bukan sekadar laba. Penilaian Allah, bukan hanya penilaian manusia. Jika tidak pendidik hanya akan mengajar"
"Dan hasilnya, pelajar hanya tahu... tetapi tidak sedar!"


Tags : Beduk diketuk by P.M. Juoi

No comments:

Post a Comment