Saturday, October 10, 2015

Expect the Unexpected

In the name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful


Hendak mendapatkan sesuatu yang baik bukanlah mudah. Dan kita harus melalui beberapa fasa sebelum memilikinya. Pada bulan Mei yang lepas, kami para pelajar especially dalam group whatsapp Software Engineering dikhabarkan mengenai biasiswa JPA. Melihatkan requirement yang telah dinyatakan dan diperlukan oleh pihak JPA, aku rasa aku layak untuk memohon. Jadi aku dan kawan-kawan cuba untuk memohon. Keputusannya akan keluar pada bulan Julai nanti.

Bagi aku, bukan calang-calang orang yang layak untuk mendapat biasiswa JPA berdasarkan requirement JPA yang aku selalu lihat adalah sangat tinggi. Jadi aku sekadar memohon, jika ada rezeki untuk aku, Alhamdulillah dan aku tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi. Tetapi jauh dalam hati yang aku tak mampu untuk zahirkan, aku berharap untuk mendapat biasiswa kerana pembiayaan degree aku ini ditanggung sepenuhnya oleh abah dan ummi. Mereka tak izinkan aku ambil PTPTN kerana tak mampu melihat hutang yang harus aku bayar waktu diploma dahulu. Oleh kerana degree di IPTA, jadi yurannya tidaklah terlalu membebankan jika hendak dibandingkan waktu diploma dulu. 

Masih aku ingat. Setelah seminggu berkerja iaitu pada hari aku berkerja syif malam. Lebih kurang pukul 11.30 malam untuk pulang, aku menuju ke arah motor. Sementara menunggu enjin panas untuk beberapa minit, aku mengaktifkan mobile data. Banyak whatsapp masuk dan aku tertarik dengan whatsapp kiriman daripada coursemate dan hari ni merangkap sebagai roomate aku. Beliau menyuruh aku cek portal JPA. Tanpa membuang masa, aku terus ke portal JPA dan keputusannya Alhamdulillah. Sepanjang menunggang motorsikal, aku tersenyum. Mujurlah pada waktu malam jadi orang tidak nampak. 

Dan disebabkan dua orang anak abah dan ummi mendapat biasiswa jadi ringanlah beban abah dan ummi. Dan mereka hanya perlu menanggung pembiayaan adik sahaja.

Dulu, aku pernah memohon untuk membuat pinjaman Yayasan Pahang. Kelebihan Yayasan Pahang ini adalah banyak itu yang kita pinjam, banyak itulah yang kita perlu bayar. Tiada bunga dan jika mendapat kelas pertama pada cgpa yang terakhir, ia akan dikira sebagai biasiswa. Tapi aku tiada rezeki di Yayasan Pahang. Rupanya Allah nak hadiahkan sesuatu yang lebih baik.

Jauh aku termenung. Jika pada 2 tahun yang lepas aku pergi menyambung pelajaran ke UK, aku takkan merasa dapat biasiswa ni. Aku takkan kenal dengan adik-adik yang cukup ohsem.

Lagipun degree yang aku apply di UK itu tempohnya hanya setahun hasil daripada transfer credit waktu diploma. Di Malaysia, dalam tempoh 3 tahun, banyak yang aku pelajari even aku sendiri rasa tak mampu nak bawa. See? Allah knows well. 

Kelebihan menjadi pelajar tajaan JPA pula, jika final cgpa aku mendapat 3.5, aku boleh menyambung master dalam Malaysia dan jika mendapat 3.75, aku boleh menyambung master di luar negara mengikut ranking yang berada dalam QS top world ranking university. 

Cerita semalam, roomate aku perlu mengaktifkan akaun Bank Islam sebelum 12 Oktober dan memandangkan jadual sangat pack pada hari kuliah dan kami merancang untuk pergi pada hari jumaat. Pada awalnya kami merempit ke Bank Islam Dataran Austin, tetapi tutup. Kami meneruskan perjalanan ke Bank Islam di Giant yang terletak di Bandar Kuala Terengganu. Itulah perjalanan paling jauh aku ride ketika di Kuala Terengganu setakat ini.

Setelah selesai urusan di kaunter, aku ke ATM untuk cek jumlah amaun yang masuk. Terkedu sekejap. Dan pada waktu malam lebih kurang lepas isyak aku melelapkan mata sebentar dan kembali bangun pada jam 10 malam. Aku melihat fon dan terus ke aplikasi whatsapp. Seorang kawan memberitahu aku bahawa dermasiswa iaitu zakat dibawah Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) telah masuk dan meminta aku untuk cek secara atas talian. 

Aku lantas cek. 

Aku termenung jauh waktu atas katil. Pada hari Jumaat yang penuh barakah, serentak Allah menghadiahkan nikmat.

JPA = RM 9343.62
MUIP = RM 1200.00

Aku beritahu abah dan ummi, jika memerlukan sejumlah wang, jangan segan-segan untuk memberitahu. Dan sekarang tugas aku adalah belajar dengan lebih rajin atau aku hanya menjadi pelajar tajaan untuk semester ini sahaja. 

Disclaimer: aku paling tak suka atau benci orang expect aku pandai. Dan aku bersyukur gila dikelilingi oleh adik-adik yang sangat excellent dan tak lokek dalam berkongsi ilmu. Terima kasih Tuhan. Kini baru aku sedar, setiap apa yang kita dapat tu, semuanya daripada Allah. Kerana ada saja pointer yang layak untuk menerima biasiswa tetapi ada yang Allah tak izinkan. Dosa saban hari makin bertambah, tetap jua Allah menambahkan nikmat. Semoga aku lebih sedar diri agar ianya tidak menjadi istidraj. 

"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, niscaya Aku akan menambah nikmat kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku),maka pasti azab-Ku sangat berat."-Ibrahim [14]

Till then, Assalamualaikum.


Sunday, May 24, 2015

Hati Yang Terbelah Menjadi Dua

In the name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful


Dulu ketika usia aku awal 20-an, jika ada masalah yang menimpa diri, aku sedaya upaya untuk bercerita pada ummi dengan abah. Kerana kata mereka, anak yang baik pasti kan tiada rahsia and it shows that you're close enough with your parents.

Tetapi sampai satu usia nanti di mana setiap keluh kesah yang sedang kau hadapi, kau takkan mampu untuk membuka mulut dan berkongsi cerita. Dan seboleh-bolehnya kau mahu cuba selesaikan sendiri masalah itu terlebih dahulu. Dan "kau" itulah aku yang lebih kurang lima bulan lagi jika dipanjangkan umur, akan menginjak ke usia 23 tahun. Aku seboleh-bolehnya ingin berkongsi rasa, tetapi pada usia begini, aku merasakan dengan bercerita hanya menambah duka di hati mereka. 

Andaikata aku meluahkan yang aku tidak mampu untuk meneruskan pengajian, tentu mereka akan belikan aku apa sahaja asalkan aku lebih bersemangat walaupun aku tahu akan ada perasaan sedih dan kecewa terbit dalam diri mereka. Andaikata aku meluahkan yang aku punya konflik dengan seseorang, atau tidak sihat atau lain-lain lagi, tentu sahaja mereka risau sehingga setiap hari menelefon dan bertanyakan tentang diri aku.

Mereka semakin tua, cukuplah selama ini dengan pengorbanan tulang empat kerat mereka mencari rezeki untuk menanggung pembiayaan aku disini. Selagi aku masih kuat untuk menghadapi sesuatu yang Allah hadiahkan, selagi itulah aku akan mengunci mulut. 

Dulu ketika usia aku awal 20-an, jika ada konflik dengan seseorang, aku tak pandai untuk selesaikan. Yang aku tahu hanya meluahkan dekat orang yang aku rasa rapat dan kemudiannya cerita aku itu dijaja. Lalu konflik itu semakin besar. Aku juga tidak pandai straight forward dan face to face untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Takpun, update sikit-sikit dekat twitter. Dan waktu itu aku tidak pandai langsung untuk menguruskan sesuatu yang berkaitan emosi. 

Banyak benda yang aku belajar dalam hidup, dan setiap hari masih lagi belajar melalui konflik yang menimpa diri. How to solve, to react and to cope with the emotion.

Satu. Sekarang, aku rasa lebih matang dalam menyelesaikan sesuatu konflik.
Jika konflik main cak-cak, aku akan face to face dan straight forward. Dan alhamdulillah. Walaupun kedua-duanya rasa perit, tapi perit yang dirasakan itu sekejap. Dan keadaan akan pulih seperti sediakala.

Dua. Jika aku bersalah, dengan penuh rasa hina dan rendah diri aku memohon kemaafan.

Tiga. Jika aku bersalah dan memerlukan aku untuk bertanggungjawab atas kesalahan yang aku lakukan, aku akan bertanggungjawab.

Empat. Jika bukan aku yang bersalah, aku cuba untuk kawal kemarahan dengan bersikap tenang sebelum mengeluarkan sesuatu ayat agar tiada hati yang terguris. Kerana ayat yang dituturkan ketika kemarahan memuncak adalah bukan dari akal tetapi datangnya daripada hati yang penuh dengan emosi.

Lima. Jangan jadi bodoh buat perkara yang sama seperti orang yang ada konflik dengan kita. Jika buat, kau dan dia sama sahaja. Dua kali lima.

Enam. Masalah yang datang itu kadang-kadang bagus, mengajar diri agar lebih alert dan agar tidak mengulangi kesalahan yang sama berulang kali.

Tujuh. Jangan reveal cerita dekat media social, risau ianya akan mengguris perasaan. Dan jika ada yang reveal, telan sahaja kerana mungkin itu sahaja cara yang mampu  membuatkan dia kembali tenang.

Lapan. Kesakitan yang dialami hanyalah sebagai peringatan untuk jadi lebih baik, bukan mencari kesempurnaan dan pulangkan kembali dekat orang sekeliling.

Sembilan. Jangan emo sangat sebab kita pun bukan baik sangat. Chill sudah. 

Sepuluh. Anggap sebagai kafarah dosa. Boleh jadi Allah ingin membersihkan dosa-dosa kecil sebelum kembali bertemu menghadap Dia.

Sebelas. Masalah itu ibarat debu-debu berterbangan, Allah itu lagi besar.

Dua belas. Jangan serahkan hati dekat sesiapa. Jika serah, nescaya kau akan terluka sehingga tidak mampu untuk merawatnya lagi. Applied for those who have a best friend.

Dua belas. "Tiada ada kesusahan yang menimpa seseorang melainkan dengan izin Allah, Dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar) dan ingatlah, Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu." - At-Taghabun ayat 11

Tiga belas. All is well.

Semoga Allah beri aku kekuatan untuk meneruskan kehidupan di dunia ini dan semoga Allah ampunkan dosa kita semua dan rezekikan kepada kita semua agar terhalang daripada melakukan dosa-dosa. Till then, Assalamualaikum.






Tuesday, February 24, 2015

Hari Pertama Semester II

In the name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful


Hari ini, hari Selasa bersamaan 24 Februari, merupakan hari pertama aku ke kelas. Roomates aku pada hari Ahad lagi sudah ke kelas. Dan hari ini aku ke kelas Islam dan Ekonomi sahaja memandangkan kelas lain banyak yang belum mula. Durasi kuliah hanya 1 jam sahaja tetapi disebabkan kelas pertama, jadi pensyarah tidak mahu mulakan sesi pembelajaran. Beliau hanya menggerakkan dengan sesi memperkenalkan diri dan apa itu Islam dan Ekonomi.

Islam dan Ekonomi ini merupakan subjek Elektif Universiti dan aku sengaja memilih course ini kerana kata kawan-kawan dari course lain, subjek ini best kerana salah satunya adalah cara lecturer itu yang mengajar.

Dr. Asyraf Abdul Rahman yang merupakan anak jati Kelantan yang dahulunya menghabiskan pengajian PHD di Scotland kini memegang jawatan sebagai Timbalan Dekan di Pusat Pengajian Asas dan Liberal. Orangnya rendah tapi setiap kali dia bercakap, kami mesti akan ketawa. Kelas beliau agak best. Banyak membincangkan isu-isu semasa berkaitan ekonomi dalam Islam

Pesan dia, kelas ini akan "menjadi" kalau pelajar bersemangat dan saya pun bersemangat. Walaupun subjek ini hanya elektif universiti, hanya "lulus" atau "gagal" dan tidak carry pointer, moga aku terus bersemangat dalam mendalami ilmu yang disampaikan dan dibincangkan. InsyaAllah, jika ada kelapangan, akan aku kongsikan ilmu yang aku dapat dengan kawan-kawan. Di laman muka buku barangkali?

Sedang keseorangan dalam bilik. Esok pun aku tiada kelas. Memang minggu pertama ni minggu paling rileks untuk aku jadi aku ingin menghabiskan beberapa buah buku yang aku bawa dari rumah disamping refresh semula subjek Java Programming I yang aku ambil semester lepas sebelum bermulanya kuliah Java Programming II pada minggu hadapan.

Till then. Assalamualaikum.

Monday, February 23, 2015

Kembali Ke Sekolah.

In the name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful



Cuti semester satu bagi aku agak lama iaitu lebih kurang 5 minggu. Bermula 18 Januari sehingga 21 Februari. Ketika di IIC dulu paling lama pun 2 minggu. Sebab itulah tidak rasa keberatan dan malas untuk balik. Sebab itu aku mampu menghabiskan pengajian dalam masa 2 tahun setengah tapi rezeki nak sambung degree lambat sikit. Sebenarnya aku merancang untuk balik dengan menaiki bas sahaja atas sebab tidak mahu menyusahkan keluarga. Jadi aku melengahkan masa untuk mencari tempat penginapan. Lagi 4 hari untuk balik ke Terengganu, abah dan ummi bertanya sama ada aku dah booking atau belum. Aku cakap belum dan seperti biasalah kena bebel. Gigih aku mencari dan menelefon, akhirnya jumpa juga hotel yang masih mempunyai bilik yang kosong. Pada hari kami check-in, tertera notis bahawa bilik semua full. Fuh, alhamdulillah, sempat booking sebelum penuh.

Selepas kami check-in. kami solat dahulu dan kemudiannya makan malam. Aku teringat lagi tomyam yang aku makan malam tu, sangatlah sedap. Dan aku masih lagi dengan batuk dan selsema yang aku sendiri tidak tahu bila nak sembuh. Di hotel malam tu, aku tidur berselubung kerana terlampau sejuk walaupun penyaman udara itu ummi tutup. Dan ye, aku demam. Keesokan harinya kami hanya ke pasar payang kerana aku tak terdaya lagi untuk berjalan dengan keadaan cuaca yang agak panas dan dengan ramainya orang yang bersesak-sesak.

Banyak juga barang yang abah ummi shopping. Kemudian abah meminta aku untuk memilih kaftan batik yang berharga RM45. Alahai baju tidur je pun buat apa mahal-mahal. Aku sangat berterima kasih kepada orang tua aku sebab aku dibesarkan dalam keadaan dan suasana yang tidak mewah. Jadi apabila orang offer sesuatu atau dengan kata lain nak belikan, hatta mak bapak sekalipun, aku selalu jadi berat hati, sehinggalah mereka nak merajuk dengan aku, baru aku katakan ye. Pertama kali dalam hidup aku memiliki baju tidur yang harganya agak mahal. Tapi kain dia memang sedap dan boleh pakai masa kat kampung nanti. Sebab dia tutup sampai kat pergelangan tangan. Kemudian lebih kurang pukul 6 petang, sampai di kolej kediaman. Lebih kurang pukul 7, mereka bertolak pulang dan lebih kurang pukul 10 mereka sampai kemudian langsung ke Sungai Karang untuk memberi keropok lekor dan batik kepada kawan abah dan ummi.

Ketika aku berada di KL pada waktu cuti semester, terasa seperti murah rezeki. Paktok dengan maktok memberi wang belanja untuk digunakan di kampus nanti, yang aku sendiri terkejut kerana nilainya sangat banyak. Beginikah perasaannya menjadi cucu sulong? Kemudian waktu aku mengikuti abah buat kerja, aku menerima sekeping angpau. Terkejut lagi ketika membuka angpau. Rezeki Tuhan nak bagi, ambil je, jangan ditolak. Kalau ada orang yang membaca ini, pesan aku rajinlah bersedekah hatta duit syiling yang mempunyai nilai kecil sekalipun kerana insyaAllah, rezeki Allah itu luas, kau akan dapat dari jalan yang kau sendiri tak pernah sangka. Rezeki bukan hanya dalam bentuk wang, malah kesihatan yang baik, pemikiran yang tajam, atau hati yang sentiasa tenang. Ingat tu. Cuti semester hari tu aku menjalankan sedikit bisnes makan-makan. Bolehlah nak cover sikit untuk semester dua kat sini. Alhamdulillah. 

Tadi aku menemani roomate aku iaitu Qila untuk ke pejabat JKR Terengganu bahagian kejuruteraan elektrik dan mekanikal. Qila menyimpan barang berharga dia dekat situ seperti printer kerana risau orang pecah masuk dalam bilik waktu cuti semester. Kenapa Qila simpan kat situ? Ayah Qila merupakan Head of Electrical Engineer di JKR Johor, jadi mudahlah urusan Qila nak menyimpan barang-barang. Qila ni sebaya aku tapi kalau kau borak-borak dengan dia dan kalau dia tak bagitahu perihal family background, kau takkan tahu yang dia anak pegawai kelas A yang mempunyai title Ir. Beliau merupakan anak yang sangat taat, sangatlah humble, berpakaian biasa-biasa, mengamalkan cara hidup yang tak mewah, walaupun ayah dia gaji more than 10K. Dan English Qila power nak mampus.

Waktu final exam hari tu, Qila ada buat origami berbentuk burung. Dan dia menyuruh aku buka waktu aku tengah down sangat-sangat. Semalam aku buka lipatan origami itu, aku terus pergi ambil wuduk, buat solat 2 rakaat, aku menangis sepuas-puasnya kerana tiada sesiapa dalam bilik dan semua pergi kelas, hanya kerana tulisan dalam lipatan origami tersebut, aku menangis kerana tulisan itu lahir dari sekeping hati yang tulus ikhlas.

"I am never good with words from the very beginning but I must say that you are truly inspire me upon your struggle in balancing ibadah and study in which I am most certainly far behind you. Thank you for letting me me into your life and be one at your humble friends. May Allah swt bless our ukhwah till Jannah. Allah yuftah 'alaikum, Hanan."

Bagi aku, ada 3 perkara yang salah satu daripada 3 itu, seseorang harus melaluinya untuk kenal dengan lebih rapat dan kenal dengan perangai sebenarnya. Satu, kau berkerja dengan dia. Kedua, kau duduk sebumbung dengan dia, dan yang ketiga kau travel dengan dia. 

Terima kasih kerana menerima seorang Hanan yang banyak kekurangan ini dalam hidup Qila. Jaga Hanan ketika Hanan sakit, menemani Hanan ke klinik lagi 2 jam sebelum nak jawab killer paper, memimpin tangan Hanan waktu melintas jalan ketika Hanan terlupa nak pakai spect. Jaga perut Hanan yang 24 jam lapar di UMT. Moga-moga Qila tak jumpa blog Hanan ni. Hehe. Hanan sayang Qila lillahitaala. 

Alhamdulillah, aku settled ganti puasa dari tahun lepas lagi, tapi aku nak didik diri aku untuk puasa sunat setiap hari Isnin dan Khamis. Pagi tadi bangun jam 4.50, bersihkan diri dahulu kemudian buat solat 2 rakaat dan selepas itu meneruskan aktiviti untuk bersahur. Rupanya Qila pun nak sahur sekali. Makan roti bun bilis share 2 orang dan sekeping biskut oat. Kami minum air masak terlampau banyak sehingga kembung perut dan asyik ke toilet sahaja. Mujur hari ni kelas aku semua cancel. Alhamdulillah dah 2 malam aku di Uni, terisi dengan solat sunat pada tengah malam. Moga-moga aku istiqamah melakukannya, Bukan senang nak istiqamah. Aku tahu.




Ini jadual terkini. Minggu pertama ni kelas budak engineering banyak yang belum mula. Alhamdulillah tiada kelas malam seperti semester lepas. Sem ni ada satu lab je. Mungkin. Sem lepas ada 3 lab. Tapi aku bernasib baik sebab dapat transfer credit subjek statistics. Paling lambat pulang iaitu jam 4 petang. Moga Allah mudahkan urusan hamba yang lemah ini, insyaAllah.

Oh ye, insyaAllah hujung minggu ni akan ke Bukit Tabur. Sesiapa yang ke sana, jumpa anda di sana. Dan doakan aku sembuh dari batuk dan selsema ye. Terima kasih. Till then, Assalamualaikum.



Sunday, February 1, 2015

Page 32 of 365

In the name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful


Sekitar cerita pada hari ini, 1 Februari 2015. Sekejap betul masa berlalu. Kedatangan bulan Februari menandakan cuti semester yang lepas bakal berakhir dan aku bakal melangkah ke semester dua. Dengar cerita keputusan akhir semester yang lepas akan keluar pada 19 Februari. 

Seperti biasa, pagi-pagi aku bangun membersihkan diri, menyediakan sarapan dan jogging di sekitar taman perumahan. Kadang-kadang di tepi pantai, kadang-kadang di Bukit Pelindung dan kaitannya adalah semester dua akan datang, aku akan menyertai lebih banyak aktiviti-aktiviti yang bersifat lasak. Benar, badan aku memang kurus tapi tak bermakna aku fit. Haha.

Semalam, aku menemani adik pergi ke Terminal Sentral beli tiket bas untuk balik Jengka, malangnya kaunter tutup. Baru pukul 3 petang kot. Kemudian, kami mengubat kekecewaan dengan membeli Hot and Roll BBQ Chicken. Kemudian singgah di Giant, beli coolblog. Disebabkan merempit ketika cuaca panas terik, muka dan tangan seperti biasalah, sunburn teruk. Sampai rumah, merah-merah dan kulit mengelupas. Aku ni dah lah hitam, bertambah hitam tau. Hitam tapi manis takpe. Hehe

Dan hari ini aku menemani adik sekali lagi ke Terminal Sentral, sebelum bersiap, aku memanaskan enjin kereta terlebih dahulu. Waktu bersiap, tiba-tiba adik tanya dekat mana tempat yang sedap untuk breakfast di area stadium. Hairan betul. Dah breakfast kat rumah, takkan lapar lagi?

"Entah, mana lah aku tahu. Rajin pulak aku nak pergi makan kat stadium.."

"Alaa takkan taktahu..." adik bertanya lagi

"Betul taktau, tanya lah Hazwan, dia kan rajin try makan."

Laju je adik aku call tanya. Jawapan yang dia dapat pun mengecewakan. Haha. Rupanya kawan adik yang berkeliaran di Bandar Kuantan sebelum nak balik Jengka yang bertanya. 

Dekat traffic light Permatang Badak bypass, lampu isyarat telah bertukar kepada lampu hijau. Aku baru je pecut keluar, tiba-tiba ada sorang mamat motor laju pecut dari simpang lain. Padahal lampu isyarat dia merah. Aku tergamam pada mulanya. Tak terfikir langsung untuk menekan hon. Waktu tu, aku baru gear satu. Style aku, bila gear satu aku pecut sikit. Kalau aku tak buat break emergency tadi, rasanya mamat motor tu dah tersadai atas jalan. Jadi mayonese. Kalau dia jatuh tadi, banyak saksi yang mengatakan dia bersalah. Hai, nasib baik enjin tak mati. Aku pun bukanlah power sangat drive kereta manual ni. Sampai ke Terminal Sentral, tangan aku sejuk menggeletar.

Abah balik maghrib tadi, ummi bercerita.

Abah ucap tahniah sebab dapat kawal situasi macam tu. Heh abah ni!

Kata abah, lepas ni along akan jumpa macam-macam ragam lagi dekat jalanraya. Benarlah, kadang-kadang kita bawak berhati-hati tapi orang lain yang berperangai macam taik. Jadi, kita kena sentiasa aware.

Sampai je rumah pukul 11 lebih pagi tadi, aku bergegas ke dapur sebab adik request kentang goreng cili padi aku. Aku tak berapa suka guna blender, aku prefer guna lesung batu sebab rasa dia lagi sedap. Kemudian aku buat sup kerang rebus, cicah kicap pedas. 

Walaupun kejadian pagi tadi masih basah diingatan, aku drive lagi, kali ni untuk menghantar adik. Bye adik. Thanks sebab tolong cuci kipas dan vacuum rumah. 

Waktu makan malam tadi, abah cakap, seronoknya hari-hari macam ni along masak. Along duduk rumah jela ulang-alik dari Terengganu. Amboi abah mana boleh macam tu. 

Sampai sini saja, till then, assalamualaikum.



Saturday, January 31, 2015

FNAC

In the name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful


Tak sampai tiga hari di rumah selepas pulang dari Terengganu hari tu, aku langsung ke KL. Tujuan utama adalah untuk ke hospital untuk membuat FNAC (fine needle aspiration cytology). Aku taktahu kenapa nama dia panjang sangat dan aku pun malas nak mengkaji. 

Malam sebelum buat FNAC aku sibuk membaca pengalaman orang di blog. Dan pada waktu itu, tangan aku mula sejuk, seperti orang yang sudah duduk berjam-jam lamanya dalam ruangan yang mempunyai penghawa dingin. 

Aku ada seorang kawan, dia seorang nurse. Dia tanya kenapa kena buat FNAC sebab hari tu ada aku memuat gambar buku appoinment dalam insta dan katanya kawan dia pernah buat dan rasanya sakit sangat. Dia kata kalau tak buat pun takpe. So aku jawab, mungkin itu procedure di hospital barangkali. Dan kawan aku itu meminta aku supaya minta ubat tahan sakit yang power lepas settle FNAC.

Sampai sahaja di hospital, data-data mengenai sakit dan rawatan yang telah aku jalani tiada dalam sistem. Aku ketika itu terasa nak marah. Surat daripada Dr.Kamariah ketika aku berurusan di IIUM Centre telah pun mereput dalam satu tempat yang aku tak ingat apa doktor tu beritahu. Nak mencari, memerlukan satu waktu yang panjang. Dan aku pun rasa tak yakin nak buat FNAC sebab apabila nak buat benda tu, doktor kena refer reference sebelum ni. Dalam kepala otak aku, kalau doktor tu salah cucuk then salah lagi then cucuk lagi macam mana? Aku yang menanggung derita tau. 

Masuk sahaja ke ruangan FNAC, gaya aku seperti kucing hendak beranak. Gelisah teramat sangat. Sepatutnya aku duduk dulu dalam bilik tu tapi aku seperti taktahu nak kemana dulu. Nak duduk atau terus ke katil.

"Kau nak kemana tu?? Sini dululah sayang." kata doktor wanita yang sedang mengandung. Beliau kelihatan sangat garang tapi ada kelembutan dalam diri dia.

Dia menerangkan dulu bahawa apa itu FNAC. Jika sampel yang diambil itu tidak memuaskan atau tidak mencukupi, dia terpaksa buat berulang-kali. Tiada bius mahupun pain killer. Berkali-kali aku menelan air liur.

Dan aku dicucuk dua kali sebab ketulan tu ada dua. Ketika jarum itu telah pun sampai pada ketulan itu, doktor menggerak-gerakkan dan menekan-nekan jarum itu, sakitnya tuh aku tak dapat nak gambarkan. Aku tak meraung, tak menjerit. Aku memejam mata dan dalam hati hanya mampu menyebut Ya Hayyu Ya Qoyyum. Tangan aku kuat menggenggam selimut putih. Muka maksu yang kelihatan kelat dan dia menenangkan aku dan menyuruh aku istighfar. Selesai satu dan kemudian satu lagi. Akhirnya aku membuka mata, terasa pedih dan perit, tapi aku senyum melihat maksu. Hairan sebab tak bergenang air mata. Bukan nak kata aku kuat, tapi entah, aku sendiri tak mampu nak beritahu yang aku mampu jalani FNAC dengan baik. Tak seperti cerita yang aku baca. 

Kemudian, aku ke Bangi rumah maklang dan kami sama-sama menikmati mee tarik warisan asli. Chinese cuisine. Hebat betul. Segumpal doh ditarik-tarik dan akhirnya jadilah mee. 

Aku tak boleh nak angkat berat apatah lagi berlari-lari anak. Tapi selepas hampir seminggu, aku sudah kembali pulih. InsyaAllah 4 Februari aku akan ke Hospital semula untuk ambil result. Mungkin pada waktu itu aku tak perlu lagi rasa nervous, aku hanya ke sana dengan perasaan segak tidak kiralah apa keputusannya nanti.

Till then. Assalamualaikum.


Wednesday, January 28, 2015

Page 28 of 365

In the name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful


Semalam, pada pukul 4.20 petang aku merempit ke Beserah dan ummi jadi pemboncengnya. Risau office tutup. Ketika itu waktu menghampiri jam 5 petang, aku speed macam biasa. Lambat sikit pergi sebab ummi baru balik kerja. Tapi sebenarnya aku tak suka bawak laju-laju bila ada orang kat belakang. Maka ummi pun peluk aku kuat-kuat. Terasa kehangatan kasih sayang seorang ibu pada waktu itu tetapi kata ummi, macam peluk tiang elektrik. Hurm, sedih rasa. Dah makan banyak dah, tapi apakan daya.

Kurang 20 minit dah sampai, tengok betapa laju aku rempit dari Sungai Isap. Tak lalu bypass. Jarang aku ikut bypass sebab yang pertama, banyak lori. Kedua, bila jalan straight, aku rasa destinasi tu terlalu jauh lebih-lebih lagi kalau merempit. Kalau drive mungkin okay sikit.

Sepanjang aku rempit, banyak juga ajaran abah yang aku praktikkan. Contohnya jika di lampu isyarat yang mempunyai simpang empat yang tak berapa nak besar, yang ketika itu lampu isyarat berwarna merah, yang mempunyai papan tanda "belok kiri jika tiada kenderaan", aku akan belok kiri kemudian u-turn dan keluar melalui simpang yang lampu isyaratnya berwarna hijau. Kalau jalan sehala, aku tibai buat dua hala. Sebab tu aku suka ride bila pergi bandar. Dulu tak berani juga buat macam ni.

Kemudian aku ke giant, makan kfc dan kemudiannya masuk ke dalam giant kejap beli barang dapur. Berkali-kali aku ingatkan ummi jangan shopping banyak sangat sebab naik motor kan. Kemudian ke guardian untuk membeli vitamin dan susu diabetik abah. Mahal harganya RM90 brand Glucerna. Tiba-tiba  manager aku keluar, bagi susu yang sama dengan harga RM28 sekali dengan free gift. Aku cek expiry date sebab biasanya kalau dapat murah ni nak dekat tamat tempoh. Rupanya lambat lagi. Aku kan ex-employee guardian jadi aku tak banyak tanya sebab aku tahu kenapa dapat harga macam tu. Alhamdulillah rezeki Allah bagi. Jimat sikit duit.

Hujung tahun lepas, aku berjaya tolong manager aku jual bag yang aku pernah upload kat insta, jadi sebagai habuan, dia berjanji untuk beri aku 40 stamp dan boleh redeem bag brand kappa. Aku google brand tu. Mahal jugak la. Beg yang aku redeem tu, harga asal ialah RM180. dengan 40 stamps yang aku dapat dari manager (since guardian buat promotion kumpul stamps apabila beli barang RM20 ke atas) aku hanya membayar RM14.90. Haa cuba tekan link di bawah. Tak pandai pulak aku nak explain.




Sampai je rumah, aku demam. Entri ini sekadar ingin membersihkan sawang yang ada. Semoga berjumpa lagi pada lain entri. Assalamualaikum.